KOTA KINABALU: Dengan hanya berbekalkan peta laluan yang diperoleh di pusat pelancongan, sekumpulan lima ‘pelancong penyamun’ dari Semenanjung memecah masuk beberapa unit kediaman sekitar bandar raya ini untuk mengaut barangan samun bernilai ratusan ribu ringgit.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Jauteh Dikun berkata, kelicikan tiga lelaki dan dua wanita termasuk seorang warga China itu berakhir apabila mereka dicekup dalam satu serbuan khas di sebuah hotel, di sini, Rabu lalu.
Menurutnya, semua suspek yang ditahan berusia antara 34 dan 54 tahun dan tiba di negeri ini sejak 14 Julai lalu kononnya sebagai pelancong dan mereka turut menyewa kenderaan yang digunakan untuk mencari rumah yang ingin disamun.
“Kumpulan itu bergerak dengan hanya berdasarkan peta diperoleh dari pusat pelancongan sebelum menyasarkan pangsapuri dan kondominium mewah sekitar bandar raya ini.
“Hasil siasatan, polis menyerbu dua bilik di sebuah hotel dan menemui sebahagian besar barangan dilaporkan hilang oleh pemilik rumah berkenaan,” katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, di sini, semalam.
Jauteh berkata, antara barangan dirampas termasuk wang tunai berjumlah RM847, beberapa beg tangan wanita, barangan kecantikan, pelbagai mata wang asing selain peralatan pertukangan yang dipercayai digunakan untuk memecah rumah.
“Mereka memulakan ‘operasi’ sehari selepas tiba di negeri ini dan sebelum memecah masuk pangsapuri atau kondominium mewah, mereka terlebih dulu mengetuk pintu rumah.
“Jika tiada maklum balas, barulah mereka memecah masuk kediaman itu. Sekiranya rumah itu berpenghuni, mereka akan berpura-pura bertanyakan sesuatu sebelum beredar,” katanya.
Menurutnya, kumpulan ‘pelancong penyamun’ itu dipercayai terbabit dalam 14 kes pecah rumah membabitkan kerugian RM440,000 di sekitar bandar raya ini.
Katanya, semua suspek kini ditahan reman dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.
No comments:
Post a Comment