Saturday, 11 August 2012

Artis Teguk Bir Di Bulan Ramadan

KUALA LUMPUR, 8 OGOS 2012: Penghibur kelahiran Singapura, Roslan Shah kembali menghangatkan industri dengan kontroversi terbaru yang mengatakan dia telah meneguk bir atau arak di khalayak ramai seperti yang dilaporkan sebuah blog.

Menjawab mengenai isu tersebut kepada murai.com.my, Roslan Shah berkata dia sendiri terkejut apabila mendapat tahu mengenai khabar itu menerusi seorang peminat yang memberitahunya melalui Facebook kira-kira 2 minggu lalu.

Malah, Roslan Shah juga menegaskan tuduhan itu langsung tidak berasas dan menganggap ianya sebagai fitnah semata-mata.

"Terus-terang saya sendiri terkejut apabila mendapat tahu wujudnya artikel itu di dalam blog yang tidak dikenali siapa pemiliknya itu pada 2 minggu lalu. Malangnya, saya baru menyedarinya, padahal artikel itu sudah dikeluarkan pada tahun lalu iaitu 11 Mac 2011.

"Apa-apa pun saya berasa amat terkilan dan kecewa dengan tuduhan itu kerana terang-terangan dia menuduh saya yang membeli minuman tersebut dan meminumnya di restoran mamak. Malah, tindakannya yang menerbitkan artikel tersebut adalah tidak beretika sama sekali.

"Mana tidaknya, saya sentuh minuman itu pun tak pernah, lagikan hendak meneguknya di khalayak ramai. Lagipun siapa dia (penulis blog berkenaan) ? Jika orang yang mengenali saya pun mereka akan tahu bagaimana tingkah laku saya.

"Ibu dan keluarga saya juga tahu saya tidak akan berkelakuan sebegitu. Tapi jika mereka tahu tentang perkara ini pasti mereka akan malu dan sedih kerana mereka tahu saya tidak akan lakukan semua itu," jelasnya ketika ditemui selepas majlis Buka Puasa anjuran Kementerian Perdangangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), bertempat di hotel Seri Pacific, kelmarin.

Dalam blog tersebut, menuduh Roslan Shah dilihat keluar dari kedai serbaneka, 7-Eleven dan menuju ke kedai mamak yang terletak di Setapak dengan membawa sebuah beg plastik dipercayai berisi beberapa botol bir. Tidak lama kemudian beberapa remaja lelaki dalam belasan tahun dan awal 20-an yang didakwa sebagai mat rempit menyertainya.

Menurut Roslan, dia sudah memaafkan penulis blog itu, cuma berharap pemilik blog tersebut segera memadamkan entri tersebut daripada terus dipaparkan atau disiarkannya di dalam laman blog berkenaan.

Jika tidak, Roslan memberitahu, dia tidak teragak-agak untuk menyaman blog berkenaan di atas tindakan yang tidak bertanggungjawab itu.

" Bersempena bulan ramadan yang mulia ini, saya belum bercadang mengambil sebarang tindakan terhadap penulis blog ini kerana menghormati bulan yang baik ini. Cuma saya memberi amaran agar penulis blog ini bertanggungjawab atas tindakannya dengan memadamkan artikel dan entri blog tersebut .

" Seandainya saya dapati artikel yang sama masih disiarkan selepas ramadan nanti, maka saya tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pemilik blog berkenaan ," tegasnya lagi.

Sementara itu, Roslan juga menyangkal dakwaan kononnya tindakan beliau itu hanyalah untuk meraih publisiti murahan. Menurut Roslan, maruah serta harga diri beliau sebagai seorang selebriti menjadi taruhan.

" Saya kesal kerana hal ini melibatkan reputasi saya selaku seorang anak seni dan sekaligus mencemarkan nama baik saya. Tambahan pula, ibu saya berada dalam keadaan kurang sihat, jadi saya tak mahu perkara sebegini mempengaruhi keadaan kesihatan beliau ," tambah Roslan lagi.

http://www.murai.com.my/article/default.asp?article_id=12579&c=1&s=1

No comments:

Post a Comment