Monday, 13 August 2012

Man Toaliap Akhirnya Tumpas

KULIM - Polis berjaya menumpaskan 'Geng Man Toaliap' setelah lima daripada tujuh anggota kumpulan pecah rumah itu termasuk dua wanita ditahan dalam beberapa serbuan sekitar daerah Kulim minggu ini.

Ketua Polis Daerah Kulim Supt Ghuzlan Salleh berkata, kumpulan itu dipercayai terbabit dalam sekurang-kurangnya 10 kes pecah rumah di sekitar daerah Kulim, Seberang Perai Selatan dan Tengah sejak awal tahun ini.

Antara barangan yang dirampas adalah komputer riba, pelbagai jenis jam tangan, telefon bimbit dan pekakas memecah masuk rumah seperti pemotong dawai serta beberapa keping wang kertas Malaysia dan mata wang Turki.

"Kesemua mereka yang ditahan berusia 17 hingga 20 tahun dan berasal sekitar Mukim Junjong. Gelaran Man Toaliap adalah sempena nama ketua kumpulan itu yang turut ditangkap," katanya semalam.

Ghuzlan menyeru mangsa-mangsa kes pecah rumah yang berlaku sekitar 2011 hingga tahun ini supaya tampil membuat laporan polis.

Beliau berkata, seorang daripada wanita yang ditahan itu adalah isteri kepada ketua kumpulan dan seorang lagi wanita membantu isteri ketua kumpulan itu untuk menggadaikan barangan kemas yang dicuri.

Polis masih mencari dua lagi anggota kumpulan tersebut iaitu Mohd Hafizal Othman, 19, berasal dari Kampung Air Puteh, Junjong dan Mohd Arasdi Khalid, 16, berasal dari Kampung Padang Janggus, Junjong, untuk membantu siasatan kes tersebut. - Bernama

No comments:

Post a Comment