Monday 27 August 2012

Padah tendang kakak pada pagi raya

MUHAMMAD NAJMI didakwadi Mahkamah Majistret Kota Bharu kerana menendang kakak tirinya semalam.

KOTA BHARU – Seorang penganggur dihadapkan di Mahkamah Majistret di sini semalam atas tuduhan menendang lutut kakak tirinya di rumah mereka di Jalan Kuala Krai di sini pada pagi 1 Syawal lalu, yang lazimnya menjadi detik untuk umat Islam bermaaf-maafan.

Bagaimanapun, tertuduh, Muhammad Najmi Yamin, 20, mengaku tidak bersalah dan memohon untuk dibicarakan semasa dihadapkan di hadapan Majistret Muhamad Safuan Azhar.

Muhammad Najmi didakwa menyebabkan kecederaan ke atas Paziah Mat Rovi, 38, dengan menendang lutut kiri mangsa di sebuah rumah di Kampung Tunjung di Jalan Kuala Krai di sini pada pukul 10.30 pagi 19 Ogos lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.